Pertamanya, tahniah kerana anda berusaha membaca Tips mula mengaji Al-Quran ini dan tidak pernah terlambat dalam mula mengaji Al-Quran.
Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: “. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah cara yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya
Dengan membaca Al-Quran, telah dikira sebagai satu ibadah dan semestinya tidak lari dengan syarat-syarat tertentu, tertib dan adabnya.
Ya, benar lebih baik belajar Al-Quran ketika waktu kecil. Namun, saya percaya, masing-masing mempunyai perjalanan dan keadaan yang berbeza ketika waktu itu. Bak kata orang kampung saya ‘better late than never’.
Sebagai seorang yang baru bermula untuk mengaji Al-Quran, perlu ada ilmu asas untuk ambil langkah pertama dalam perjalanan mengenal Kalam Allah.
Usah khuatir, kami akan kongsikan beberapa tips mula mengaji Al-Quran untuk memberi gambaran awal kepada anda. Semoga kita berjumpa di penghujung artikel ini.
Jom kita baca Tips Mula Mengaji Al-Quran:
- Perbaiki Niat
Niat merupakan kunci kepada sesuatu ibadah. Jika kuncinya sudah rosak, bagaimana hendak dibuka pintunya. Mulakan niat semata-mata kerana Allah tanpa ada sebarang niat yang boleh merosakkan niat ibadah ini. Antara niat lain adalah mahir dalam bacaan Al-Quran untuk menambah baik kualiti bacaan kita dalam solat.
Mungkin juga ada yang mula untuk membaca Al-Quran disebabkan bakal berkahwin, ataupun baru ada sengang masa selepas bersara. Walau apa pun niat kita, dan sebab kenapa kita mula baca Al-Quran, niat tersebut tidak menjadi penghalang untuk kita dekat dengan Allah.
Ada juga golongan yang merasakan terpaksa untuk mula belajar Al-Quran. Mujahadah melawan rasa berat, malas dan terpaksa kerana besar ganjarannya. Bersyukurlah kerana Allah letakkan hidayah rasa nak berubah walaupun terpaksa. Ada golongan yang tidak sempat belajar Al-Quran walaupun sudah beberapa kali mendapat ‘panggilan’ tersebut.
Sesiapa pun anda, dari golongan apa pun, saya yakin, ketika anda membaca tips ini, anda merupakan golongan yang ikhlas menambah baik diri dengan mula mahir membaca Al-Quran. Moga Allah bantu dan permudahkan. Amin
- Peraturan Asas
Bagi setiap cabang ilmu, ada bukunya, ada aturannya ada pakar yang menjaganya. Begitu juga Al-Quran, ada peraturan dan pakar dalam ilmu mengajar Al-Quran.
Sebagai pelajar baru, perlu anda tahu tentang hukum tajwid. Tajwid adalah menunaikan hak huruf dan apa yang sepatutnya bagi sesuatu huruf Al-Quran, seperti menunaikan apa yang sepatutnya bagi makhraj sesuatu huruf, sifat-sifatnya, dengungnya, panjangnya, tebal atau tipisnya sebutan sesuatu huruf dan lain-lain hal yang berkaitan dengan ilmu Tajwid.
Antara perlunya penguasaan tetang ilmu tajwid adalah untuk membeza kesalahan seperti Lahn Jali (kesalahan nyata) dan Lahn Khafi (kesalahan ringan). Lahn Jali merupakan kesalahan nyata atau pun berat seperti tertukar baris atau kalimah yang boleh menukar maksud kalimah itu. Sementara Lahn Khafi pula adalah kesalahan yang ringan seperti tertukar sifat huruf.
Anda mula pening? jangan risau, jika perlukan kelas mengaji bersama guru yang pakar, boleh rujuk di sini.
- Kenali Huruf Hijaiyah dan Makhraj
Huruf hijaiyah adalah huruf-huruf abjad di dalam Bahasa arab. Jika asas belajar membaca dengan mengenal huruf ABC, maka untuk mengaji Al-Quran kita menggunakan huruf ا (alif), ب (ba’), ت (ta’).
Jika dia Malaysia , silibus pengajaran akan bermula dengan menggunakan IQRA. Di dalam silibus ini, pada buku iqra pertama, anda akan diajar tentang huruf secara satu persatu.
Kaedah ini untuk membiasakan anda dengan huruf-huruf baru Bahasa arab sehingga anda lancar menyebut dan mengenal setiap jenis huruf.
Selain itu, anda perlu tahu tentang mahkraj. Makhraj adalah tempat keluarnya bunyi huruf-huruf hijaiyah. Ada lima tempat utama keluar huruf:
Al-Halq (Halqum/Kerongkong)
Al-Lisan (Lidah)
As-Syafatain (Bibir)
Al-Jauf (Rongga Mulut)
Al-Khaisyum (Rongga Hidung)
Bagi bahagian ini, anda disarankan berguru untuk memastikan setiap sebutan adalah tepat dan tidak menyimpang dari bunyi asal. Mungkin ada huruf yang seolah sama dengan abjad yang biasa kita dengar, namun dengan pengajian secara berdepan anda akan dapat membezakan jenis huruf berkenaan.
Insyallah, guru Al-Quran yang mahir akan membantu anda untuk mudahkan memahami konsep dan peraturan dalam Al-Quran.
- Konsisten dan Praktis
Bagi seorang yang baru mula belajar membaca Al-Quran, kesusahan dan kepayahan dalam mengenali setiap hukum dan bacaan itu, pasti ada.
Namun, dengan berkat kesabaran dan konsisten dalam belajar mengaji Al-Quran mendapat ganjaran yang sewajarnya seperti dalam sebuah hadis daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.
Riwayat Muslim (798) & Ibn Majah (3779)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran.
Belajar Al-Quran perlukan komitmen yang baik, dan konsisten. Setiap bacaan perlu diberikan tumpuan dan dijauhkan dari segala gangguan.
Bagi seorang yang baru belajar, tanda-tanda dan simbol baru dikenali yang ada pada setiap huruf dan ayat juga memberikan impak yang berlainan ketika membaca Al-Quran, dengan kesilapan baris sahaja mampu mengubah makna. Bagi seorang pelajar, kesalahan itu tidak dapat dielakkan, namun perlu berhati-hati dalam membaca KalamNya
- Berguru untuk mengaji Al-Quran
Tips Mula Mengaji Al-Quran di atas banyak dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar melalui seorang guru Quran. Bacaan kita mudah ditambah baik dengan tadarus/tasmik bersama dengan guru mengaji. Pada kita, kedengaran setiap bacaan kita adalah betul, namun bagi guru yang pakar, ada lagi ruang untuk kita tambah baik bacaan.
Ada diantara pelajar yang rasa malu dan segan disebabkan masih merangkak dan tidak lancar mengaji. Malu ditegur di dalam kelas yang ramai, usah risau, banyak kelas-kelas yang menawarkan kelas mengaji secara personal one to one.
Oleh itu, jika perlukan bantuan guru untuk mengaji, boleh cari kelas di sini.
All comments (1)
Haziq
Setiap hari, umat Islam digalakkan untuk membaca Al-Quran kerana bukan sahaja ganjaran pahala yang menanti, tetapi juga banyak lagi manfaat yang anda dapat sebagai pembacanya.
Reply